Madu Kelulut

Madu kelulut yang dihasilkan oleh spesis lebah kelulut (“Stingless Bee”, Meliponini spp.) telah diisytihar sebagai “Super Food Malaysia” oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Mohammad Najib Tun Abdul Razak pada 18 September 2016. Keistimewaan madu kelulut termasuklah kadar antioksida yang tinggi (3 kali ganda) berbanding madu lebah3-4, mempunyai potensi dan khasiat perubatan seperti antibiotik semulajadi, meningkatkan metabolisma badan, menjaga kecantikan awet-muda (kesan rejunevasi), melancarkan peredaran darah, membaiki sistem penghadaman, pernafasan dan membuang toksin dari badan4. Bahan aktif utama yang terdapat di dalam madu kelulut adalah terbitan asid fenolik bebas yang terdiri dari asid fenilpropanaoik, asid protocatechuik dan asid 4-hidroksifenilasetik yang mudah diserap oleh tubuh berbanding bahan aktif lain3-4.

Madu kelulut dijangka akan menjadi salah satu daripada komoditi negara mulai tahun 2017. Walau bagaimanapun, masih terdapat pelbagai proses yang perlu dilakukan bagi mempertingkatkan pengeluaran madu kelulut ini bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa termasuklah mengatasi masalah pengecaman baka kelulut, penjagaan kualiti habitat kelulut supaya sentiasa sihat dan produktif termasuk suhu/kelembapan persekitaran kawasan ternakan5, rekabentuk kotak sarang kelulut, penggunaan peralatan tuaian yang bersesuaian dan kesedaran penternak kelulut berkenaan nilai komersil produk terbitan kelulut selain daripada madu seperti propolis dan roti kelulut.

Di Malaysia terdapat kira-kira 32 spesis kelulut dan hanya dua (2) spesis yang dikomersilkan iaitu Heterotrigona itama dan Geniotrigona thoracica3,6. Ini disebabkan kedua-dua spesis tersebut yang paling mudah untuk diperlihara dan mempunyai akses sumber makanan yang pelbagai berbanding dengan spesis-spesis yang lain-lain. Yang paling menarik, spesis ini adalah yang telah berjaya didomestikasi untuk diternak di kawasan rumah dan ladang7. Secara purata penghasilan madu kelulut adalah dalam julat antara 200 - 600 gram/koloni di waktu musim biasa dan 800 - 1.8 kg/koloni di waktu musim bunga3,7.

Selain daripada madu, kelulut sebenarnya boleh menghasilkan dua (2) lagi produk hasilan lain yang mempunyai nilai komersil yang tinggi iaitu propolis dan roti lebah (beebread). Secara keseluruhannya, kelulut dapat menghasilkan tiga (3) jenis produk mengikut komposisi iaitu madu kelulut (15%), propolis (65%) dan roti kelulut (20%)3-4,6-7.

Madu kelulut (Stingless Bee Honey) adalah sejenis manisan yang dihasilkan oleh kelulut menggunakan nektar bunga melalui proses reguritasi dan disimpan sebagai sumber makanan utama dalam haif. Analisis madu secara umum mengandungi Fruktosa (38.2%), Glukosa (31.3%), Maltosa (7.1%), Sukrosa (1.3%), Air (17.2%), Oligosakarida (1.5%), Abu (analisis kimia) (0.2%) dan lain-lain bahan (3.2%)3-4,6-7.                                                                                              

Propolis kelulut (Stingless Bee Propolis) terbentuk dari bahan resin yang diambil lebah kelulut dari pohon yang mengandungi getah dan memprosesnya sehingga membentuk propolis yang berwarna hitam, kuning atau coklat tua di sarang kelulut. Propolis berfungsi sebagai antikulat, antifungus, antibakteria dan antiradang3-4,6-7.                                                                                                                                                                                                           

Roti kelulut (Stingless Bee Bread) adalah campuran debunga, enzim dan nektar atau madu. Bahan ini adalah sumber utama makanan dalam bentuk protein dan asid amino untuk pekerja kelulut madu dan larva. Komposisi roti kelulut bergantung pada tumbuh-tumbuhan yang terdapat di persekitaran kelulut tersebut. Ini bukan sahaja perubahan di lokasi yang berbeza tetapi juga dengan musim dan juga pada masa-masa yang berbeza dalam sehari3-4,6-7.

Penggunaan madu dalam sejarah manusia sudah berlaku sejak dahulu kala lagi. Ia telah diguna dan tercatat di dalam batu bersurat yang pertama di dunia pada tamadun Sumeria 2000SM8. Ia digunakan dalam pelbagai jenis makanan dan minuman sebagai pemanis dan (bahan) perisa serta dalam perubatan8. Di Malaysia, sehingga kini dianggarkan seramai 1,200 penternak madu kelulut berdaftar di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani2,9 dan lebih dari 300 belia yang telah dilatih untuk menjadi penternak Kelulut di seluruh Malaysia sejak 2014 sehingga 2016 di bawah Skim Agropreneur Muda, Kementerian Pertanian dan Asas Tani. Sejak kebelakangan ini, media hampir setiap hari menyiarkan berita berkenaan madu kelulut sebagai Superfood Malaysia. Ia satu langkah bijak dalam mempopularkan industri ini. Namun ia perlukan sokongan daripada pelbagai pihak untuk menjayakannya terutama dalam mempertingkatkan produktiviti hasilan kelulut.