Sistem Maklumat Bersepadu Kelulut (KIIS)

Sistem Maklumat Bersepadu Kelulut atau lebih dikenali sebagai Kelulut Integrated Information System (KIIS) dibangunkan adalah untuk membantu memperkasakan industri produk hasilan kelulut seperti madu, roti lebah dan propolis melalui kaedah penggunaan teknologi terkini seperti Internet of Things (IoT). Selaras dengan perkembangan Revolusi Perindustrian Ke Empat (Industri 4.0) melalui dana “Solving Industry Wide Problem” dibawah SIRIM-Fraunhofer, Industrial Centre of Innovation in Sensor, SIRIM Berhad dengan kerjasama Institut Genome Malaysia (MGI) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah memperkenalkan kaedah penternakan pintar menggunakan teknologi Internet of Things (IoT) dan Wireless Sensor Network (WSN) sebagai salah satu cara untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran madu kelulut bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa.

Mengikut stastistik daripada Kementerian Pertanian dan Asas Tani, sehingga kini, terdapat kira-kira 1,200 penternak berdaftar dengan jumlah 60,000 log kelulut2. Namun begitu, kebanyakan penternak hanya tertumpu kepada madu sahaja berbanding roti lebah dan propolis yang ternyata lebih banyak khasiatnya. Masalah-masalah lain yang dikenalpasti yang dapat menghalang produktiviti ternakan kelulut ialah pengecaman koloni kelulut, penjagaan kualiti habitat kelulut, kawasan ternakan, rekabentuk kotak sarang kelulut dan peralatan tuaian yang bersesuaian.

Sistem ini juga telah dibangunkan mengikut keperluan Standard Amalan Pertanian Baik (APB) untuk memastikan pengrekodan maklumat mengenai spesis kelulut, suhu, kelembapan, dan jadual tuaian yang berkala dan sistematik untuk memastikan madu yang terhasil berkualiti dan mempunyai nilai yang tinggi.